Thursday, April 18, 2013

Kewajipan zakat ke atas logam Emas dan Perak

Bismillah,

Sebelum saya nak sambung kisah kelebihan logam emas ini, saya nak sampaikan satu perkara yang penting pada mereka yang berurusniaga dalam emas ini. ZAKAT. Disini saya nukilan serba ringkas maklumat mengenai ZAKAT keatas logam Emas dan Perak.

Semoga memberi manfaat kepada anda.

Kewajipan zakat ke atas logam Emas dan Perak dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”. At- Taubah; ayat 34-35

Istilah asas yang kita kena ketahui:
1. Nisab bermakna nilai yang dikenakan zakat
2. Uruf bermakna nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat
3. Haul bermakna tempoh masa iaitu setahun hijrah

Syarat-Syarat Wajib Zakat Emas :-
1. Islam pemiliknya.
2. Cukup nisab.
3.Cukup haul atau setahun di dalam milik mengikut kiraan tahun hijrah.
4. Milik yang sempurna. 

Zakat Emas terbahagi kepada 2 keadaan... iaitu yang disimpan atau "tidak dipakai" ( jongkong emas , dinar dan barang kemas tak dipakai walaupun sekali ) dan yang dipakai ( kebiasaanya barang kemas), maka pengiraannya juga berbeza.

Emas dan Perak Yang Tidak Dipakai atau Disimpan.

Dari Ali bin Abu Talib r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

".. tidak diwajibkan atasmu sesuatupun - pada emas - sehingga ada bagimu 20 dinar, kalau engkau ada 20 dan ia pula genap setahun lamanya dalam simpananmu, maka zakatnya ialah 1/2 dinar. Seterusnya yang lebih dari itu hendaklah dikira menurut kiraan yang tersebut (dan dikeluarkan zakatnya) .." (Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Dari Ali bin Abu Talib r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apabila engkau ada 200 dirham, dan ia pula telah genap setahun dalam simpanan mu, maka zakatnya (yang wajib kamu keluarkan) ialah 5 dirham .." (Hadith Hasan - Riwayat Abu Daud)

Secara ringkasnya, Jumlah Zakat yg dikenakan untuk:
1 Dinar Syifa GSR

Emas:
Nisab : 20 dinar atau 85 gram
Kadar : 1/2 dinar drpd 20 Dinar atau 2.5 %
Haul : Genap Setahun dalam simpanan
Perak:
Nisab : 200 Dirham atau 595 gram
Kadar : 5 dirham drdp 200 dirham atau 2.5%
Haul : Genap Setahun dalam Simpanan

Contoh Pengiraan:

Kaedah pengiraannya ialah: [(Timbangan emas per gram) x (Harga emas semasa / gram)] x 2.5%

Harga semasa emas adalah RM162.13 per gram dan Emas tersimpan seberat 90 gram.
maka kadar zakatnya : [90 gram x 162.13] x 2.5% = RM 364.79

Andaikan 1 gram perak = RM 0.62 dan Perak yang dimiliki seberat 1000 gram.
maka kadar zakatnya = [1000 gram x RM 0.62] x 2.5% = RM15.50

(Harus diingat, kadar harga semasa bagi nisab emas dan perak sentiasa berubah - ubah mengikut harga emas dan perak semasa jadi perlu dirujuk dgn pusat zakat berhampiran anda )

Emas Yang Dipakai sebagai Perhiasan

Emas yang dipakai sebagai perhiasan walaupun hanya sekali dalam setahun TIDAK wajib dikeluarkan zakat keatasnya, walaubagaimanapun sekiranya melebihi URUF yang telah ditetapkan maka WAJIB dikeluarkan zakat keatas perbezaan berat itu. Kadar Uruf adalah mengikut negeri - negeri di Malaysia seperti berikut:

Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
Uruf emas bagi negeri Melaka adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram
(Sumber: Laporan kajian penetapan uruf emas pakai negeri Pahang Darul Makmur tahun 2008)

Semakkan kadar uruf perlulah dibuat dari masa ke masa di Pusat Punggutan Zakat berhampiran anda

Contoh Pengiraan:

Bagi yang bermastautin di Kuala Lumpur kadar uruf = 150 gram, berat emas = 320 gram dan harga semasa = RM162.13
maka berat yang dikenakan zakat = 320 gram - 150 gram = 170 gram
kadar zakat yang perlu dikeluarkan = [170 gram x RM162.13] x 2.5% = RM 689.05

Persoalan Lazim Berkaitan Zakat Emas dan Perak

1. Soalan: Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam skim Ar-Rahn, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu?
Jawapan: Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik

2. Soalan: Adakah emas yang disimpan di dalam bank (safe deposit box) perlu dizakatkan?
Jawapan: Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.

3. Soalan: Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?
Jawapan: Tidak wajib dizakatkan kecuali setelah ditebus semula. Kiraan haul bermula pada hari ditebus.

4. Soalan: Ibu saya mempunyai emas yang sudah cukup syarat untuk dizakatkan. Tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat. Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Daripada sumber mana yang perlu digunakan untuk membayar zakat tersebut?
Jawapan: Waris perlulah melunaskan bayaran zakat tersebut dengan menggunakan duit si mati sebelum harta peninggalannya di faraid.

5. Soalan: Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
Jawapan: Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.

6. Soalan: Saya ada emas yang dipakai. Ia tidak cukup untuk dikeluarkan zakat. Tetapi jika dicampurkan dengan emas yang digadai, cukup untuk bayar zakat. Persoalannya, wajib kah saya membayar zakat?
Jawapan: Tidak wajib dikenakan zakat kerana tidak cukup nisab dan emas yang digadai tidak sempurna milik.

(sumber:http://www.e-zakat.com.my/soalan-lazim/)

p:s Kalau dah baca sila komen " Saya berazam nak berzakat emas dan perak tahun 2013 ini"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...